Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Khamis, Januari 20, 2011

Suami mithali idaman isteri

Sebagai lelaki, pernahkah terfikir untuk menjadikan diri sebagai orang dikagumi? Bukan saja memiliki perawakan menarik tetapi hadir dalam satu pakej yang penuh kesempurnaan sehingga menjadi teladan kepada semua – disayangi isteri, dihormati anak-anak, disanjung keluarga dan sekali gus berjaya dalam kehidupan dunia akhirat?

Kalaulah anda belum berpunya, pasti ramai yang bakal menjadi pemujanya. Namun berusahalah menjadi lelaki yang sempurna dan cuba memenuhi apa yang diinginkan wanita. Jika anda mengidam mendapat pasangan yang memenuhi segalanya, tidak salah sekiranya mencuba untuk menjadi lelaki yang sesempurna mungkin.

Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan anda mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang anda ada menepati apa yang dicari golongan hawa.

Pastinya jika ciri itu ada pada diri anda, tentunya anda lelaki paling bahagia di dunia ini kerana mampu memenuhi kehendak masyarakat, agama dan meletakkan kesempurnaan diri pada tahap yang sewajarnya.

Marilah kita selidiki kalau ciri-ciri atau petua yang dititipkan ini ada pada diri anda atau sememangnya ia sifat semula jadi anda.

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa mengenai hal ini.

2. Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami ‘mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan isteri anda.

4. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia ap

abila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

6. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

7. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

8. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan, kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘role model’. Hidupkan amalan sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut diberikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

POLIGAMI…Kebahagiaan Yang Dicari @ Kesengsaraan Yang Dituju

sumber dr blog::

Dalam post yang terdahulu saya ada menyebut tentang rintihan seorang teman berkenaan isterinya yang tidak lagi mempercayai kejujurannya setelah berpoligami dengan kebenaran isterinya setelah 18 ke 20 tahun mereka sama-sama melayarkan bahtera perkahwinan

.Saya suka untuk menjadikan perbincangan ini satu entri yang berasingan walaupun ianya berpijak di atas asas-asas maani yang saya sebutkan didalam post yang lalu(Kebahagiaan Rumahtangga…).Malah post-post yang terdahulu daripada AGAMA ADALAH KEJUJURAN, MENGENAL DIRI DAN HAKIKAT KEHIDUPAN… semuanya adalah berkaitan dalam memahami apa yang akan saya utarakan.

Manhajiah Berfikir Menuntut Keberanian Mengungkapkan Kebenaran…

Manhajiah dalam berfikir dan dalam memberikan apa-apa penyelesaian kepada masalah masyarakat, menuntut kita berani dalam mengungkapkan sesuatu yang belum kita lalui dan tidak semestinya kita melaluinya…dan jika kita ditakdirkan melaluinya belum pasti apa yang kita impikan tercapai sepenuhnya… Seperti seorang Pendakwah yang mengungkapkan ciri-ciri Imam atau pemerintah yang Adil, tidak semestinya dia kena jadi pemerintah atau pemimpin yang berjaya melaksanakan keadilan baru boleh dia memperkatakan tentang keadilan pemimpin.begitu juga apabila dia ditakdirkan menjadi pemimpin tidak semua apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan…Tetapi… “Tentunya berbeza di antara seorang yang melihat dengan seorang yang buta apabila melalui sesuatu jalan…”

Bersedia Sebelum Ia Berlaku…

Sebenarnya persoalan-persoalan yang saya utarakan di dalam post yang lalu adalah bertujuan membuka minda dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul. Saya sengaja mengolah persoalan seperti itu dan agak menusuk kelubuk hati yang paling dalam bagi mereka yang terasa,kerana sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada silap faham secara akli (fikiran semata-mata) lebih mudah untuk diuraikan dengan hanya membawa beberapa hujjah logik sudah cukup.Tetapi sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada perasaan (yang asasnya adalah nafsu ; nafsu di sini adalah inginkan keselesaan sepenuhnya tanpa saingan) ia tidak mudah untuk diselesaikan melainkan mesti di asingkan antara akal dan perasaan dengan soalan-soalan yang menggugat…supaya akal bebas berfikir tanpa gangguan emosi yang menyerabut.

Itulah yang saya faham daripada uslub al Quraan apabila menangani satu-satu isu membabitkan perasaan(juga dalam bab Poligami). Itulah uslub Surah al Tahrim yang menghentak perasaan sampai kelubuk hati yang paling dalam kepada dua wanita yang paling mulia di muka bumi ketika itu yang digelar “Ummahat al Mukminin” Ibu para Mukmin (Aisyah r.a dan Hafsah r.a dan menjadi pengajaran kepada yang lain…)dengan hentakan berbentuk cabarandan ugutan daripada Yang Maha Berkuasa apabila berlaku kesilapan dalammenguruskan perasaan dengan cara yang tidak betul sehingga melahirkan tindakan yang tidak betul dan mengesani tindakan Nabi s.a.w.

“ Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.

Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan

menggantikanbaginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.”

[al Tahrim : 4-5]

Apa lagi perkataan yang lebih keras dan menusuk kalbu kepada seorang wanita yang bersuami dalam rumahtangga bahagia dan suaminya itu orang yang paling mulia di muka bumi ini daripada perkataan dalam uslub ugutan“Menceraikan dan menggantikan dengan orang yang lebih baik…” Kita bandingkanlah siapa kita dan siapa suami kita untuk tidak terasa dengan teguran seperti ini…Rasulullah hanya cenderung untuk tidak lagi makan madu yang dimakannya di rumah salah satu daripada isterinya kerana ingin mera’ikan perasaan isteri-isterinya yang lain lalu ditempelak oleh Allah: (al Tahrim ayat 1)

Wahai Nabi! Kenapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini amat jelas menunjukkan satu penegasan daripada Allah supaya mengembalikan kepada asas pemikiran yang betul dalam membuat apa-apa pertimbangan (sebagai Neraca) dalam apa-apa hal dan tidak melayan perasaan yang berbagai daripada pihak yang pelbagai kerana perasaan ini seperti yang saya pernah ungkapkan dulu bahawa:

” Emosi hanya penting untuk memahami serta menggambarkan sesuatu yang bersifat emosi…tetapi dalam menyelesaikan perkara emosi asas pemikiran rasional adalah dituntut kerana emosi sifatnya tidak tetap adapun pemikiran ia bersifat tetap berdasarkan maklumat yang tepat…”

Sesiapa yang menjiwai uslub al Quraan Zauq Quraani akan dapat merasakan betapa tinggi dan beratnya Tarbiyyah jiwa (Tazkiyyah al Nafs) yang diterima dan dilalui oleh para isteri Nabi, sudahlah mereka ditegur dengan teguran yang begitu keras dan menusuk hati , malah isu rumahtangga mereka dipamerkan kepada khalayak umum oleh Yang Maha Mengetahui…(bagi menjadi teladan kepada generasi seterusnya hingga qiamat…) dan itulahTarbiyyah dan itulah Maqam Qudwah sebenarnya bagi seorang wanita Muslimah…

Oleh itu seseorang itu boleh dianggap berjaya dalam tarbiyyahnya apabila dia berjaya melepasi keadaan paling sukar serta rumit dalam hidupnya dan dalam keadaan itu dia masih boleh bertindak mengikut asas pemikiran yang betul dan tidak terpengaruh dengan tekanan perasaannya…

Oleh itu bagi seorang wanita mukminah ( saya belum berbicara tetang lelaki) apabila Allah mentakdirkan dia berhadapan dengan isu poligami atau ujian hidup dalam rumahtangga berpoligami sebenarnya Allah ingin mengangkat martabatnya dari sudut “Tazkiyatu al Nafs” (pembersihan jiwa) ke martabat yang paling tinggi apabila dia dapat melaluinya dengan berpandukan segala tindakannya berasaskan asas pemikiran yang betul (yg diajar oleh al Quraan dan Sunnah) tanpa melayan pujuk rayu perasaanya…kerana itulah keadaan yang paling berat dan rumit bagi seorang wanita…dan apabila dia berjaya melepasinya dengan taufiq dan hidayah Allah dia akan berada di “Maqam Qudwah ” walupun mungkin tidak menyerupai maqam para Ummahat al Mukminin dan juga Sarah Dan Hajar…

Bagi saya isu Poligami ini adalah satu perkara yang lumrah, sama ada kita suka atau tidak ia tetap akan berlaku kerana ia diharuskan… Dalam keadaan ia tidak diharuskan oleh undang-undang atau agama lainpun ia tetap berlaku melalui pintu belakang…Persoalannya adakah kita hendak membiarkan ia berlaku begitu sahaja dan berdiam seribu bahasa tanpa terurus? atau kita sebagai orang yang dikurniakan kebijaksanaan tampil untuk menguruskannya. Sekurang-kurang menguruskan daripada segi

“Persiapan Minda Yang Betul”terhadapnya dan selok beloknya. Supaya apabila ia berlaku ia tidak akan membawa kepada keadaan kelam klibut yang banyak menjejaskan dan menggadaikan perkara-perkara asas yang lain… ATAU kita sanggup membiarkan saja pengarah filem dan para artis untuk melakonkan aksi contoh Poligami terbaik sebagai Solution kepada masyarakat…? Dan kita sebagai kumpulan dakwah atau orang yang ingin kembali kepada Islam hendaklah menjauhkan diri daripada berbicara tentangnya apalagi untuk mempraktikkannya kerana ia melambangkan sex yang selalunya jijik untuk dibicarakan…?

Atas asas ini saya mengambil inisiatif ini untuk kali ini, d

engan cara saya tersendiri bagi merawat beberapa aspek Tarbiyyah yang saya nampak dan dapat fahami daripada al Quraan dan Sunnah semoga ianya dapat memberi sumbangan manfaat kepada masyarakat (terutamanya pembaca ).Dan saya akan utarakan idea-idea itu melalui sub tajuk berikut:

NasihatKu… Kepada Pasangan Berpoligami

-Suatu Takdir yang Mesti Dihadapi

- Menerima Hakikat.. Satu Yang akan Meringankan

- Syarat Tempat Rujukan

- Kebahagiaan Itu Tempatnya adalah di Hati

DAN SETERUSNYA…

NasihatKu… kepada yang bercadang untuk memulakannya

Nasihatku… kepada para isteri yang belum bermadu

Nasihatku… kepada para wanita yang belum bersuami

Nasihatku… kepada pengamal monogami terhadap kawan berpoligami

Surat Terbuka untuk Dato' Seri Najib Tun Razak

sumber dr blog ilmuan~~~

http://suarafata.blogspot.com/

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun, sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin, dalam ruang demokrasi, tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.
Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini, menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata). Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. ‘Singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya kini. Tidaklah pula saya katakan, yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan, saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari, makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini. Izinkan saya Dato’ Seri, untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH, kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW. DASAR Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini, percaya bahawa, setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?
Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya? Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.
Saban hari, saya dan rakan-rakan, menerima berita dari segenap pelusuk negara, samada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!
Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!? PELAN TRANSFORMASI EKONOMI Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri, turut menggariskan perancangan untuk
MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN.
Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga, kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
Maka, menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.
Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana, seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda, dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.
Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan waktu Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan? Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar, bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar, yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda, hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.
Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para bijak pandai masa depan. Dengan Dato’ Seri melambakkan pada mereka, hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan, bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini? IFF dan AURAT Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah
mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar beritah demikian, kerana ia begitu meresap masuk di hati ini. Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya, waktu melihat Dato’ Seri dan isteri, melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati, untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam), yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam? Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini? JUDI Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak, apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini? Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?
Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka, daripada wang yang mereka perolehi hasil judi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya? Apakah keputusan-keputusan ini, ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti? KEMISKINAN dan HARGA NAIK
Dato’ Seri, orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali, jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun, Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga, kaya raya. Maka, tidak kiralah, jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau Rm 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.
Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya, adalah pengurusan yang menghancur!
Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun, sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu). Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah, meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah yuran persekolah masih dihutang. Bukan sedikit keringat yang dicurah, demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.
Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat, yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya. Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini, sekadar untuk meraih undi. Waktu berkuasa, kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami, bermatian berusaha keras sendiri.
SUARA RAKYAT Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati, dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami, ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.
Dan menteri-menteri Dato’ Seri, tanpa rasa bersalah, menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu, memahami pedihnya hati ini.
Semuanya adalah kerana, kami rakyat, cuba untuk berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi, betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.
Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?
Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat.Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media dibawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara, adalah bercanggah pada sisi agama.
Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri, pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi sebab untuk anak-anak muda ditangkap khalwat?
Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara, sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?
REFORMASI
Saya dan juga rakan-rakan, adalah remaja muda yang punya sikap. Punya pendirian. Kami berazam, untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad, seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini. Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.
Jika sampai masanya, untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti. Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti. Agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan mendapat tempat tertinggi di negara ini.
Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?
Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada gerak langkahnya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya. Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian, hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!
Sekian, terima kasih. Yang benar, Muhammad Muizzuddin Bin Zaini

FAKTOR YANG MENYEBABKAN HASAD DENGKI

Buat renungan kita bersama……….

Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali ada disimpulkan sebab-sebab yang menimbulkan perasaan hasad dengki tersebut.

Antara lain :-

1) Perasaan Permusuhan dan Kebencian

2) Merasa Diri Mulia

3) Takabbur

4) Ujub

5) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

6) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

7) Busuk Hati

1) Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang disakiti oleh seseorang lain atas sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang perlakuan yang agresif untuk memuaskan hatinya.

Pendekkata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan.

2) Merasa Diri Mulia

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang –orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap takabbur terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.

3) Takabbur

Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan memperhambakan seseorang. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi merelakan kepongahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya, atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

4) Ujub

Pernah Allah Subhanahu Wata’ala jelaskan kepada kita perihal umat-umat di zaman silam. Mereka merasa ta’jub dengan diri mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut kebenaran. Hujjah mereka selalunya ialah seperti yang tertera di dalam Al-Quran :-

“Bukankah kamu tak lebih dari manusia(biasa) seperti kami juga?”

Dan ungkapan yang berbunyi: “Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?”

Golongan tersebut merasa aneh melihat orang yang Berjaya mendapat pangkat kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah Subhanuahu Wata’ala ialah manusia seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul tersebut.

5) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Tiap orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.

6) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

Umpamanya seseorang yang bercita-cita untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingnya dalam salah satu cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujian dan jolokan – bahawa dialah satu-satunya pakar yang tidak ada taranya di zaman itu – telah menguasai dirinya, tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia bercita-cita kalau tandinganya itu mati sahaja atau kemahirannya menurun dan pupus.

7) Busuk Hati

Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehinhamba Allah yang lain. Apabila disebutkan dihadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar perihal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpama tentang kekacauan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Doa setiap bingkisan ku. .panjangkanlah umur dan berikanlah kesihatan dan murahkanlah rezeki pada ibu ku..jadikan suami ku suami soleh anakku anak solehah..amin...pintaku selalu pada Mu Ya Allah...