Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Sabtu, Oktober 23, 2010

Isteri ego punca suami cari lain

  • Pembaca mungkin telah banyak membaca masalah, penderitaan dan isu-isu berkaitan wanita hidup bermadu. Daripada banyak pandangan yang diberikan rasa-rasanya cuma satu dua sahaja wanita yang dimadukan berasa bahagia dan selesa hidupnya dipoligamikan. Kebanyakannya rata-rata mereka melahirkan rasa tidak puas hati, kecewa dan menderita bukan sahaja melibatkan diri mereka tetapi anak-anak turut menjadi mangsa.
  • Namun tidak dinafikan mungkin ada yang berasa bahagia, tetapi tidak mahu pengalamannya dipaparkan di ruangan ini untuk kita sama-sama melihatnya dengan hati dan mata lebih terbuka.
  • Bagaimanapun penulis kurang menerima pandangan daripada kaum lelaki yang berpoligami kalau adapun yang mengirimkan, jumlah mereka terlalu kecil berbanding wanita. Kebanyakan surat, e-mel mahupun faks yang diterima daripada kaum wanita sentiasa menceritakan masalah hidup bila suami kahwin lagi.
  • Seorang suri rumah, Cik Wan memberikan sebab mengapa kaum lelaki kurang memberi pandangan. Katanya, kerana mereka tidak menghadapi masalah berpoligami, sebab mereka yang menerima padah bermadu adalah wanita, ada antara isteri yang ditinggalkan tanpa nafkah, ada juga yang terpaksa ikat perut kerana suami kurangkan duit belanja dan sebagainya. Jadi hidup kaum lelaki memang tidak ada masalah, kerana mereka adalah golongan pembuat masalah.
  • Katanya, kaum lelaki boleh tutup mata, hati dan perasaan terhadap kehidupan anak-anak. Dia tak peduli anak-anaknya dapat makan, boleh pergi sekolah, duduk di rumah yang sempurna ataupun tidak, asalkan kehendak hatinya beristeri lebih daripada satu terlaksana.
  • Pada mereka, masalah isteri dan anak-anak tak penting, asalkan cita-cita dan hasrat hatinya terlaksana. Kaum lelaki juga sering melahirkan kata-kata keramat bahawa keadilan kalau beristeri lebih tidak boleh diukur kerana tidak ada kayu pengukur, dan ia terlalu subjektif. Wang ringgit juga tidak boleh diambil kira, kerana wanita sentiasa laparkan wang berapa banyak pun wang yang diberi tidak pernah cukup.
  • “Pada saya itu adalah pembohongan, kaum lelaki sering lalai dan lupakan tanggungjawabnya setelah beristeri lebih, biasanya isteri mudalah yang menjadi keutamaan. Tetapi banyak juga isteri kedua menghadapi masalah kerana sebab-sebab tertentu. Terutama setelah rahsia dia berpoligami terbongkar.
  • “Selagi boleh menyembunyikan isteri keduanya, selagi itulah lelaki akan menafikan dia berkahwin lagi. Bila rahsia sudah bocor, suami biasanya akan menjadi takut dan terus meninggalkan isteri keduanya, terutama apabila dia merasakan isterilah atau keluarga isterinya tempat dia banyak bergantung.”
  • Demikian pandangan Cik Wan kenapa kaum lelaki kurang memberikan pandangan tentang poligami. Mereka lebih suka berkokok di belakang, tidak berani berhadapan isterinya.
  • Bagaimanapun baru-baru ini penulis menerima e-mel daripada Saiful yang menceritakan pandangannya tentang masalah poligami. Oleh kerana pandangan kaum lelaki jarang diterima untuk ruangan ini, maka minggu ini dipaparkan pandangan beliau yang rasa-rasanya tidak kurang menariknya untuk dibaca dan diteliti.
  • Kerana beliau sendiri menceritakan mengapa dia mahu berkahwin lagi, sebab dan apa kekurangan isterinya. Di mana silap isteri sampai suami berasa amat kecewa dengan sikap mereka yang terlalu ego.
  • “Saya mengikuti dengan penuh khusyuk tentang artikel yang dimuatkan dalam ruangan Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) ini tentang bermadu. Memang menarik, pelbagai pandangan diberikan dan saya memang suka mengikuti bab ini. Kerana ia secara tidak langsung melihatkan diri saya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
  • “Namun sebagai pembuka tirai izinkan saya memperkenalkan diri saya sebagai Saiful berusia dekat 40-an tahun dan sudah berumah tangga. Kini saya mempunyai tiga orang anak yang sedang meningkat remaja.
  • “Di dalam saya mengikuti artikel-artikel yang dipaparkan terutama sekali DCCK bertarikh 24 April lalu berjudul Pegang bara api dulu baru layak bermadu, saya teruja untuk memberikan pandangan kerana saya berasa amat kesal dengan cara Norlia mengatakan cukup tebalkah iman lelaki untuk berlaku adil seperti Nabi? Sesungguhnya iman seseorang manusia itu tidak dapat diwarisi dan saya kesal kerana beliau mengambil mudah untuk menggunakan Nabi sebagai kayu pengukur.
  • “Beliau mungkin terlupa kisah isteri Nabi bernama Habsah yang telah dipulaukan oleh Nabi selama sebulan, sehinggakan bapanya, Saidina Umar datang menyepak Habsah. Lupakah kita bahawa isteri-isteri Nabi adalah mereka yang dijanjikan syurga. Jika wanita boleh berkelakuan sedemikian kepada Nabi, inikan manusia biasa dan banyak kes perceraian berlaku atas sikap wanita itu sendiri. Mereka terlalu ego dengan kelebihan dan kedudukan mereka sekarang.
  • “Kaum wanita suka menyalahkan kaum lelaki bila rumah tangga mereka kucar-kacir, mereka tidak pernah melihat ke dalam diri mereka sendiri, mengapa suami mereka ingin kahwin lagi, dan apa punca dan masalah suami mereka sampai sanggup berbuat demikian. Sebenarnya bukan mudah lelaki berkahwin dua tanpa sebab tertentu.
  • “Pada pandangan saya kebanyakan wanita Melayu mempunyai ego yang teramat tinggi. Mereka ingin kahwin tetapi tidak mahu jadi isteri solehah. Berbeza dengan wanita bukan Melayu, mereka mempunyai tanggungjawab yang tinggi dan setia.
  • “Sebagai contoh saya mempunyai seorang kenalan hasil daripada penglibatan saya dengan Perkim. Beliau merupakan seorang wanita Inggeris yang telah memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Melayu. Dia sanggup meninggalkan kehidupan metropolitannya pada masa lalu dan kini menetap di pedalaman di Selangor bersama suaminya tanpa keperluan asas seperti elektrik mahupun air.
  • “Semua ini dilakukan untuk kebahagiaan suami dan keluarga. Itulah pengorbanan namanya yang mana jarang kita temui daripada kaum Hawa Melayu, kesanggupan wanita Inggeris ini meninggalkan kemewahan hidup hanya untuk bersama-sama suami amat mengagumkan saya dan beliau telah membahagiakan suaminya.
  • “Jadi kepada Norlia, Nabi pernah berkata bahawa sekiranya manusia ini boleh menyembah selain daripada Allah, maka isteri akan disuruh menyembah suami. Dan bagi wanita, sesungguhnya syurga itu amat mudah jika dibandingkan dengan lelaki, sembahyang, puasa dan taatlah kepada suami, maka pilihlah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.
  • “Saya bukanlah bersikap menegakkan bendera orang lelaki atau mengangkat martabat kaum lelaki, tetapi ini adalah yang hak, dan anda sendiri yang menggunakan Nabi sebagai kayu pengukur, sepatutnya menjadi lebih insaf.
  • “Pada pandangan saya kebanyakan cerita yang dipaparkan seolah-olah menyalahkan kaum lelaki berpoligami, seolah-olah dengan berpoligami itu satu cara yang sah untuk kaum lelaki memuaskan nafsu mereka. Tanggapan ini bagi saya adalah tidak benar malah ia lebih menyakitkan hati kaum lelaki.
  • “Jika kita melihat fitrah kejadian Adam, Nabi Adam hidup senang lenang di syurga dan kenapakah dijadikan Hawa? Kerana Allah mengetahui bahawa Adam kesunyian dan dijadikan Hawa itu, sebagai pasangan hidupnya. Itulah sebabnya, lelaki yang kematian isteri mereka kemudiannya akan berkahwin lain.
  • “Berlainan dengan kaum wanita yang boleh meneruskan hidup selepas kematian suami. Mereka boleh hidup sendirian, boleh menguruskan diri, rumah tangga dan anak-anaknya sendiri, tetapi lelaki tidak, walaupun bukan semua lelaki demikian, tetapi itulah yang berlaku kepada lelaki. Sama seperti kejadiannya.
  • “Apa yang saya ceritakan ini sedikit sebanyak turut melibatkan hidup saya, saya katakan demikian kerana keadaan hidup saya yang selalu kesunyian walaupun ada isteri tetapi dia yang tidak mempedulikan kebajikan saya menyebabkan atau menjadi faktor utama yang menolak (pushing factor) saya ke arah hidup berpoligami.
  • “Sebagai suami siapa boleh sabar kalau isteri pun tidak mahu bertegur sapa dengan kita, kerana egonya terlalu tinggi. Malahan hubungan kelamin pun tidak mendapat layanan sewajarnya, baginya, hubungan suami isteri semata-mata untuk mendapatkan zuriat sahaja. Adakah itu adil, adakah itu sewajarnya sikap seorang isteri terhadap suaminya? Dan sikapnya yang sedemikian tidak boleh ditegur dan dinasihati.
  • “Bagaimanapun bagi saya, hubungan seks itu bukanlah menjadi keutamaan, tetapi saya amat kesunyian dan memerlukan companionship yang lebih lagi. Saya selalu memikirkan apakah akan terjadi kepada diri saya apabila saya tua kelak. Rasa-rasanya pada masa itu seks bukanlah perkara utama lagi malahan saya amat memerlukan seorang rakan hidup.
  • “Pada pandangan saya zaman ini kebanyakan kaum wanita setelah mereka diberikan pendidikan, pekerjaan dan taraf kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat, mereka telah gagal memahami fungsi sebagai ibu dan isteri di dalam institusi keluarga. Malahan, mereka beria- ia ingin setanding dengan lelaki yang mana akhirnya membawa kemusnahan kehidupan keluarga itu sendiri.
  • “Apa yang saya cuba ceritakan ini adalah pengalaman saya sendiri di mana sikap dan perbuatan isteri saya sendiri jika ditegur kepada kebaikan, isteri saya akan meminta menceraikannya dengan alasan bahawa kami sudah tidak sesuai lagi sebab saya menegurnya. Apakah salah suami, yang menjadi nakhoda menegur isteri?
  • “Sebab itulah apabila kaum lelaki ingin bernikah lain, kebanyakan isteri akan melenting malah sanggup meminta cerai daripada hidup bermadu tanpa memikirkan atau muhasabah diri sendiri di manakah silap mereka terdahulu.
  • “Itulah sebabnya mengapa saya katakan bahawa ego isteri zaman ini amat tinggi sekali. Kaum wanita tidak ingin diperlekehkan oleh masyarakat yang memandang serong dengan tanggapan bahawa mereka tidak tahu melayan suami sehinggakan suami cari lain, atau berkahwin lagi.
  • “Secara jujur dan ikhlas saya nyatakan bahawa saya memang berhasrat untuk menikah lagi dan saya kini sedang berkenalan dengan seorang janda. Beliau banyak membantu saya di dalam melalui kehidupan yang amat kesunyian ini dengan menjadi rakan hidup saya yang baik.
  • “Bukan itu sahaja beliau selalu mengingatkan saya tentang tanggungjawab saya sebagai suami dan bapa kepada anak-anak saya. Beliau tidak ingin digelar perampas suami orang. Itulah peliknya kaum Hawa. Mereka hanya memikirkan diri sendiri tanpa memikirkan apakah perasaan kaum lelaki.
  • “Jadi kepada Norlia, saya amat bersimpati dengan saudari tetapi, kaum Hawa juga perlu ingat tanggungjawab mereka sebagai isteri dan menjaga hak-hak suami. Jangan memperlekehkan suami. Jangan hanya memikirkan tentang apa yang anda harus dapat daripada suami tetapi berilah apa yang hak kepada suami anda.
  • “Kepada mereka yang mempunyai tanggapan serong tentang kaum lelaki yang ingin berpoligami semata-mata untuk memuaskan nafsu mereka, lihatlah ke dalam diri sendiri dahulu. Ada juga kaum lelaki hanya mahukan rakan hidup lebih daripada seks. Perkahwinan ini adalah segala-galanya bukan hubungan kelamin sahaja.
  • “Jika agama itu dijadikan landasan hidup berumah tangga, maka tidak akan menjadi porak-peranda kehidupan masyarakat kita hari ini. Hidup ini amatlah pendek dan kita hidup di dunia ini hanyalah pinjaman sahaja. Nyawa kita adalah pinjaman dan ingatlah jika kita melakukan yang hak kepada suami kita dan suami kita reda dengan kita, maka syurga itulah pembalasannya dan itulah yang kekal.”
  • Demikian cerita Saiful mengenai pengalamannya dan pandangannya tentang kebanyakan isteri zaman ini dan mengapa suami mereka kahwin lagi. Benarkah wanita ego atau sebaliknya, tentu pembaca sendiri lebih tahu dan lebih memahami. – dcckmonaum@hotmail.com – MAIMUNAH

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Doa setiap bingkisan ku. .panjangkanlah umur dan berikanlah kesihatan dan murahkanlah rezeki pada ibu ku..jadikan suami ku suami soleh anakku anak solehah..amin...pintaku selalu pada Mu Ya Allah...