Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Ahad, Julai 04, 2010

Jauhnya Umat daripada Islam; Salah Siapa?

  • Jauhnya Umat daripada Islam; Salah Siapa?
  • Umat akhir zaman sememangnya hidup dalam suasana yang sangat mencabar keimanan mereka. Cabaran-cabaran keimanan ini banyak digambarkan oleh Rasulullah saw dalam hadis-hadis baginda. Ia dikumpulkan oleh sarjana-sarjana hadis dalam satu bab dipanggil bab al-Fitan
  • Antara baginda menjelaskan: بادروا بالأعمال فتنا كقطع الليل المظلم يصبح الرجل مؤمنا ويمسي كافرا ويمسي مؤمنا ويصبح كافرا يبيع دينه بعرض من الدنيا قليل
  • Maksudnya: “Bersegeralah melakukan amalan-amalan sebelum berlaku fitnah-fitnah (ujian-ujian) bagaikan potongan-potongan malam di mana seorang lelaki itu berpagi=pagi dalam keadaan beriman dan berpetang pula dalam keadaan kufur. Berpetang dalam keadaan beriman dan berpagi pula dalam keadaan kufur. Dia menjual agamanya dengan mata benda yang sangat sedikit” (hadis riwayat Muslim, Kitab al-Iman, Abu dawud, Kitab al-Fitan dan Tirmizi, Kitab al-Fitan)
  • Perkataan “fitnah” bukannya bermaksud “fitnah” yang difahami oleh masyarakat Melayu iaitu “membuat tuduhan tidak berasas atau memburuk-burukkan seseorang”, tetapi fitnah di sini bermaksud “ujian-ujian”. Ujian-ujian yang berlaku pada umat akhir zaman adalah ujian yang melibatkan aqidah dan keyakinan mereka terhadap Islam.
  • Baginda membuat perumpamaan ujian-ujian tersebut dengan potongan-potongan malam. Malam bermula dengan tenggelam matahari. Suasana sedikit demi sedikit bertukar menjadi gelap. Ia bermaksud kekaburan demi kekaburan yang berlaku terhadap hakikat Islam yang sebenar.
  • Islam tidak pernah kabur. Islam sentiasa jelas. Hakikat Islam sentiasa dihuraikan oleh ulama-ulama Islam yang mewarisi tugas para Anbiya’ memberi penjelasan tentang Islam. Tetapi kekaburan berlaku dari sebelah pihak masyarakat. Ini berlaku kerana mereka semakin menjauhi Islam. Ilmu pengetahuan tentang Islam tidak dipelajari oleh mereka.
  • Ini berlaku kerana suasana kehidupan yang mempengaruhi mereka. Sogokan gaya hidup mewah menjadikan masyarakat berlumba-lumba membina kekayaan. Justeru, ilmu-ilmu yang menjadi alat untuk mendapat kekayaan dan kesenangan hidup lebih mendapat perhatian masyarakat. Apatah lagi dengan kempen-kempen yang agresif yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan swasta. Mereka melakukan promosi besar-besaran mengajak masarakat menimba ilmu-ilmu yang bakal menjamin kesenangan hidup selepas alam pengajian.
  • Malangnya pengajian tentang Islam tidak diberikan ruang iklan seumpama ini. Tidak ada kempen besar-besaran menerusi media arus perdana. Tidak ada penaja-penaja swasta yang bersedia menawarkan biasiswa-biasiswa bagi pengajian Islam di peringkat universiti. Ini berlaku kerana keyakinan bahawa pengajian Islam tidak mempunyai nilai komersial.
  • Hasilnya, masarakat semakin jauh daripada agama. Islam hanya mampu kedengaran di ruang-ruang surau dan masjid. Corong radio dan skrin televisen hanya menyediakan ruang ilmu untuk Islam dalam masa-masa yang terbatas, bagai melepaskan batuk ditangga. Penulisan tentang Islam kurang mendapat sambutan masyarakat.
  • Inilah hakikatnya. Umat menjauhi Islam kerana kempen keseronokan dunia yang dibuat secara agresif. Bukan kerana kelesuan ulama Islam dalam menyampaikan Islam.
  • Malangnya ada pula membuat tanggapan, jauhnya umat daripada Islam kerana ulama Islam tidak menjalankan tanggungjawab. Bagi saya, mereka sudah menjalankan tanggungjawab tanpa dinafikan ada segelintir yang mungkin cuai dalam melaksanakan tanggungjawab menyebarkan ilmu. Namun, adakah ruang-ruang untuk menyebarkan Islam dibuka seluas-luasna buat mereka? Mungkin ada kelemahan di pihak ulama Islam ini, namun, untuk meletakkan kesalahan pada ulama semata-mata di atas jauhnya umat daripada Islam dan menafikan hakikat persekitaran yang berlaku adalah amat tidak wajar sekali dan tidak adil sekali.

Bencana sebagai balasan daripada Allah

Jun 15, 2010

Apabila tiba musim hujan, langit akan mencurahkan airnya. Air pun mula melimpah di sana sini. Sehingga mengakibatkan banjir di tempat-tempat tertentu. Apabila musim kemarau melanda, bumi pun menjadi kering kontang.

Di sebalik kejadian yang dianggap lumrah oleh manusia ini, ada satu persoalan yang perlu difikirkan bersama. Mengapakah apabila tiba musim hujan, langit mencurahkan airnya tanpa henti-henti sehingga berlaku banjir besar yang memusnahkan segala-galanya. Akibatnya juga manusia yang tidak berdosa pun menjadi mangsa dan binatang ternakan turut mati. Mengapakah juga musim kemarau yang berlaku berlarutan hingga segala parit dan anak sungai menjadi kering? Sementara itu langit langsung tidak menurunkan airnya dalam masa yang agak lama, panas membakar hingga tanaman dan tumbuhan di dunia musnah. Akibatnya manusia hidup dalam kehausan dan terseksa.

Pernahkah kita terfikir mengapakah apabila berlaku musim hujan di sana sini pada waktu yang sama ada kawasan yang kering kontang tanpa hujan? Orang ramai di kawasan itu pula hidup dalam kehausan kerana kemarau panjang terjadi secara tiba-tiba. Apakah ini juga dianggap sebagai lumrah? Sebenarnya apabila banjir sudah sampai kepada had bahaya atau kemarau pula berlarutan sehingga bumi menjadi kering kontang, atau terjadinya kemarau di musim hujan maka hal ini tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa. Hal ini adalah musibah, bala bencana dan keburukan, lebih-lebih lagi apabila sampai tahap merosakkan dan memusnahkan jiwa dan harta benda.

Bala atau bencana yang sering menimpa manusia sebenarnya adalah balasan daripada Allah S.W.T terhadap kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Bala ialah balasan di dunia sebelum manusia menerima balasan di akhirat.

Di dalam surah Asy Syura ayat 30, Allah berfirman yang membawa maksud; “Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (akibat perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala bala yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh dosa-dosa manusia. Sekiranya Allah itu tidak mempunyai sifat pemurah dan penyayang, sudah pasti setiap dosa yang dilakukan oleh anak Adam akan ditimpa bala dan musibah yang tidak putus-putus. Tetapi kerana Allah itu bersifat Maha Pengasih lagi Maha Pengampun maka banyak dosa-dosa manusia diampunkanNya tanpa dibalas dengan bala.

Setiap bala yang diturunkan dan setiap musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh dosa dan kesalahan manusia itu sendiri. Apabila Allah menurunkan balaNya, bala ini bukan sahaja menimpa mereka yang bersalah dan berdosa sahaja tetapi menimpa keseluruhan manusia. Hal ini dijanjikan oleh Allah seperti firmanNya dalam surah Al Anfal ayat 25 yang bermaksud:

“Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dan (yang membawa bala dan bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksaNya.” Oleh itu apabila berlaku kemarau dan seumpamanya, Islam menganjurkan supaya manusia memperbanyakkan istighfar dan meminta ampun kepada Allah, berhenti dari melakukan dosa dan kesalahan, setelah itu barulah boleh memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan. Dalam surah Hud ayat 52, Allah berfirman yang bermaksud; “Dan wahai kaumku, mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang tersedia ada, dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.”

Di dalam surah Nuh ayat 10 dan 11 Allah berfirman yang bermaksud;

“sehingga aku berkata (kepada mereka) pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya ia adalah maha pengampun (sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat yang mencurah-curah kepada kamu. Di dalam dua ayat ini, dikaitkan soal beristighfar kepada Allah dan meminta ampun di atas segala dosa dan kesalahan. Setelah itu barulah Allah menurunkan hujan dari langit. Hal ini menunjukkkan seolah-olah langit ditahan daripada menurunkan airnya kerana dosa manusia yang terlalu banyak iaitu dosa meninggalkan apa yang disuruh atau melakukan apa yang dilarang.

Di dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a yang bermaksud;

“Berkata Abdullah bin Umar, ketika saya bersama sepuluh sahabat daripada Muhajirin di sisi Rasulullah S.A.W tiba-tiba rasulullah S.A.W berpaling kepada kami lalu baginda bersabda, menegah suatu kaum daripada mengeluarkan zakat harta mereka, bererti mereka menegah langit daripada menurunkan hujannya, kalau lah tidak kerana binatang (yang tidak berdosa yang hidup melata di bumi) tentu hujan tidak akan turun ( sehinggalah mereka mengeluarkan zakat harta mereka).”

Oleh yang demikian sebagai peringatan kepada kita, jangan lah banyak melakukan dosa dan kesalahan andainya kita tidak mahu ditimpa bala bencana. Oleh kerana kita juga terlibat dengan bala bencana hasil daripada dosa dan kesalahan orang lain, maka adalah baik kita juga beristighfar meminta ampun kepada Allah. Kalaupun tidak dihilangkan terus bala itu, kita sekurang-kurangnya terhindar daripada keburukannya.

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Doa setiap bingkisan ku. .panjangkanlah umur dan berikanlah kesihatan dan murahkanlah rezeki pada ibu ku..jadikan suami ku suami soleh anakku anak solehah..amin...pintaku selalu pada Mu Ya Allah...