Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Sabtu, Mei 22, 2010

Ayat 129, surah al-Taubah – Doa mohon dicukupkan keperluan

Menurut Ibnu Abi Hatim, perkataan Arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi dijadikan Allah. (Tafsir Ibnu Abi Hatim, tafsir ayat 129, surah al-Taubah)

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW sering berdoa menyeru Allah yang memiliki Arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal.

Abu Daud dan Ibnu al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a. secara mauquf bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membacakan ayat ini pada waktu pagi dan petang, sebanyak tujuh kali, maka Allah SWT akan mencukupkan semua urusan dunia dan akhiratnya.” (Al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah al-Taubah)

Khasiat dan Kaifiat Beramal

Amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Mudah-mudahan kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapat keselamatan daripada Allah SWT.

Orang Beriman Sentiasa Mengingati Mati

KEMATIAN pasti dihadapi oleh setiap orang. Ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: Setiap yang bernyawa pasti akan mati.? (Surah al-Anbia, ayat 34).

Dalam ayat lain pula, Allah menjelaskan bahawa apabila tiba masa ajalnya, maka ia tidak dapat dipercepat atau diperlambatkan walaupun sesaat.

Setiap hari di sekeliling kita ada saudara, kawan dan jiran diketahui meninggal dunia. Akan tiba masanya kita pula meninggal dunia. Justeru, manusia tidak selama-lamanya akan hidup di dunia ini. Buktinya, perhatikan sekeliling kita.

Sekarang ini kita tidak dapat lagi menemui orang berumur lebih 150 tahun. Semuanya meninggal dunia sebelum mencapai umur itu.

Perlu diingatkan, saat kematian sebenarnya tidak mengira usia. Bukan hanya apabila melepasi usia tua saja, baru kematian akan berlaku.

Kematian boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira usia, bayi dalam kandungan, kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang tua. Sebab itu setiap orang perlu sentiasa mengingati kematian.

Pesanan supaya mengingati saat kematian bukan untuk menakut-nakutkan atau menyebabkan kesan negatif. Sebaliknya untuk mengingatkan kita tujuan hidup ini yang akan berakhir.

Setiap orang perlu mengetahui tujuan sebenar hidup ini. Allah menjadikan manusia bukan sekadar untuk menikmati kehidupan dunia dan kemudian dimatikan seperti mana makhluk lain.

Manusia dicipta dan diturunkan ke muka bumi sebagai khalifah dan hamba yang ditetapkan tugas atau peraturan hidup yang perlu dilakukan. Ini dijelaskan dalam firman Allah:

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-ku.” (Surah al-Zuriat, ayat 56).

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia telah menyatakan persetujuan untuk taat kepada Allah. Maksud menyembah dan beribadat kepada Allah adalah luas, meliputi segala detik kehidupan manusia. Ia meliputi ibadat seperti sembahyang, menunaikan haji dan ibadat yang dinyatakan secara jelas sebagai perlu dilakukan. Sementara yang lain, dalam bentuk ibadah tidak khusus.

Manusia yang melakukan segala apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang, dikira melakukan ibadah. Panduan atau peraturan kehidupan manusia di dunia ini terkandung dalam al-Quran dan hadis. Sesiapa yang mengikut kedua-duanya pasti akan bahagia hidup di dunia dan akhirat.

Setiap perbuatan manusia akan dicatat dalam rekod yang dijaga oleh dua malaikat iaitu catatan perbuatan baik dan perbuatan buruk.

Kedua-duanya tidak akan sedikit pun tertinggal atau berlaku kesilapan. Rekod itu kemudian akan dibentangkan di hadapan Allah di akhirat nanti selepas berlaku kiamat. Setiap amalan akan dihisab dan ditimbang pahalanya, biarpun sekecil mana perbuatan yang dilakukan sepanjang hidup. Ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:

“Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi penjelasan. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8).

Sesiapa yang mendapat himpunan pahala yang lebih banyak daripada dosa, maka dimasukkan ke dalam syurga dan berbahagialah hidup di dalamnya selama-lamanya.

Sesungguhnya syurga itu tempat yang tiada tandingan nikmatnya yang disediakan kepada orang bertakwa. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:

“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takut kepada Allah, di dalamnya mengalir sungai-sungai, buah-buahannya tetap dan (juga) naungannya. Itulah kesudahan orang-orang yang bertakwa kepada Allah, manakala kesudahan orang kafir (ingkar) pula ialah neraka.” (Surah ar-Raad, ayat 35).

Dengan selalu mengingati kematian, manusia akan sedar ke mana akhirnya hidupnya nanti. Dia akan mengingati hari pembalasan terhadap setiap apa yang dilakukan. Dengan itu, setiap amalannya untuk kebaikan seperti yang dikehendaki oleh ajaran agama dengan mengira-ngira sudah berapa banyak kebaikan yang dilakukan.

Insan yang mengharapkan balasan baik tidak akan berasa cukup dengan apa yang dilakukan. Sebaliknya dirasakan sentiasa masih terlalu kurang dan ingin dilipat-gandakan lagi amalan baik sebelum tiba saat kematian.

Sesungguhnya semakin banyak amalan kebaikan dilakukan, maka semakin dekat dirinya dengan Allah dan semakin takut dia kepada Allah. Perasaan takut orang beriman menyebabkan mereka sentiasa mengingati hari kematian.

Dua kemungkinan mereka fikirkan mengenai kematian. Pertama kesediaan mereka untuk menemui Allah pada bila-bila masa. Segala-galanya dirasakan begitu menggembirakan. Bagi orang beriman saat kematian amat manis ketika mana perjalanan untuk menghadap Allah semakin hampir.

Kemungkinan kedua ialah adakah amalan mereka sudah cukup untuk mendapat balasan baik daripada Allah. Justeru, mereka terus menerus tanpa jemu melakukan amal ibadat kepada Allah sambil terus menghitung saat kematian.

Jika disedari telah melakukan kesalahan atau dosa, maka terus diperbetulkan kesalahan itu. Lalu diikuti dengan taubat atau memohon keampunan daripada Allah.

Taubat bagi orang yang beriman dilakukan tanpa ditangguh-tangguh. Sesungguhnya taubat itu memberi erti atau diterima sebelum tiba saat kematian. Rasulullah mengingatkan umatnya supaya sentiasa bertaubat kerana Allah maha menerima taubat. Namun taubat itu ada batasan waktunya. Sabda Rasulullah bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawanya belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut)”. – (riwayat: Tarmizi).

Allah akan menerima taubat mereka yang benar-benar insaf terhadap apa yang telah dilakukan. Biarpun sebesar mana kesalahan yang dilakukan, Allah bersedia menerima taubat hamba-Nya, kecuali kesalahan syirik. Kesalahan syirik hanya “dibersihkan” dengan mengucap kalimah tauhid semula sebagai mengakui “tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya”.

Ketika peluang masih ada, bertaubatlah sebelum terlambat. Sesungguhnya tiada siapa yang tidak pernah melakukan dosa. Rebutlah rahmat yang disediakan oleh Allah Yang Maha Pengampun.

Sesungguhnya tiada penguasa melainkan Allah yang “melepaskan” kesalahan tanpa denda atau hukuman setelah pesalah mengaku salah dan memohon maaf.

Allah menjamin menerima taubat setiap hamba-Nya yang benar-benar memohon taubat. Ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:

“Katakanlah (kepada manusia): Wahai hamba-Ku yang telah merasa berdosa atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah dapat memberi ampun-Nya terhadap dosa seluruhnya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun dan Pengasih” (Surah az-Zumar, ayat 53).

Setiap dosa yang disedari telah dilakukan perlu terus dilakukan taubat. Ini kerana manusia tidak tahu mengetahui bila ajalnya akan tiba. Sebab itu jangan sekali-kali mengamalkan sikap bertangguh-tangguh kepada perbuatan baik.

Dengarlah pesan Rasulullah melalui sabdanya bermaksud: “Binasalah orang-orang yang suka bertangguh-tangguh.”

Bahkan mereka yang mengingati kematian akan sentiasa beringat-ingat melakukan taubat terhadap perbuatan yang tidak disengajakan atau tidak disedari.

Mereka ingin menghadap Allah dengan keadaan yang sebenar-benarnya bersih daripada dosa. Mereka yang sentiasa lalai mengenai saat kematian diingatkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud yang bermaksud : “

Hingga ketika maut telah datang kepada seseorang antara mereka, maka dia pun berkata: Wahai Tuhanku (hidup semula)! Supaya dengan itu aku akan dapat mengerjakan perbuatan baik yang telah aku tinggalkan itu. Tidak. Sesungguhnya perkataan itu hanya sekadar dapat diucapkan. Di hadapan mereka ada Barzah yang dindingnya membatasi sampai hari mereka dibangkitkan.” (Surah al-Mukminun, ayat 99 – 100).

Setelah tiba kematian untuk seseorang, tidak akan dapat diubah atau dilambatkan walaupun sesaat. Maka terputuslah hubungan dan peluangnya untuk kembali hidup sehinggalah dibangkitkan di akhirat nanti untuk menerima pembalasan.

Segala amalan yang dilakukan sepanjang hidup akan menjadi bekal menentukan untung nasib di akhirat nanti. Segala hubungan dengan dunia terputus kecuali tiga perkara yang masih memberi kebaikan biarpun selepas saat kematian.

Tiga perkara itu ialah sedekah jariah yang berterus-terusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapanya.

Biarpun Allah menyediakan pelbagai tawaran untuk memasuki syurganya, namun ia bukan perkara mudah. Sesungguhnya syaitan telah berjanji di hadapan Allah akan menyesatkan seluruh keturunan Nabi Adam sentiasa berusaha menjalankan propaganda dan hasutan supaya manusia sentiasa melakukan kejahatan supaya turut sesat dan menerima nasib sama dengannya.

Sebagai peringatan mengenai tauhid dan sikap syaitan hayati firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang membisikkan (kejahatan) ke dada manusia. Daripada jin dan manusia”. (Surah an-Nas, ayat satu hingga 6).

Justeru berpegang teguhlah dengan ikrar yang diucapkan seperti maksud firman Allah bermaksud “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.” (Surah al-Anam, ayat 162).

Kematian bagi setiap orang adalah saat paling pedih dan ngeri sekali, lebih-lebih lagi bagi mereka banyak melakukan dosa. Mereka benar-benar beriman dan memahami hakikat betapa pedih dan ngerinya kematian akan kecut hati dan segera memperbanyakkan amalan kebajikan dan bertaubat atas dosa yang dilakukan.

Ada riwayat mengatakan, Sufian al Thauri seorang ahli ibadat, ketika mengingati dan membicarakan saat kematian, dia tidak dapat berbuat apa-apa hingga beberapa hari seperti orang tidak sedarkan diri.

Apa-apa ditanyakan kepadanya akan dijawab tidak tahu. Begitulah betapa takutnya orang yang mengetahui seksanya menghadapi saat kematian.

Dia takut bukan kerana sayangkan kehidupan dunia yang akan ditinggalkan, tetapi kerana merasakan amalan kebaikan yang dilakukan masih kurang dan takut tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi di akhirat nanti.

Adapun rasa pedih dan ngerinya saat kematian diumpamakan seperti pohon berduri dimasukkan ke dalam badan, yang setiap durinya berkait dengan urat, lalu ia ditarik keluar dengan kuatnya sehingga memutuskan apa yang terputus dan meninggalkan apa yang masih tertinggal.

Kesakitan ketika menghadapi saat mati dirasakan seperti tidak akan hilang-hilang. Diceritakan, Nabi Isa ketika ditanya kepada orang mati yang dihidupkan semula dengan katanya : “Berapa lama kamu telah mati? Lalu dijawab oleh yang mati itu “sejak empat ribu tahun lalu, tetapi belum hilang rasa pedihnya maut.”

Bersabar Dengan Musibah Allah

Menjadi hakikat kehidupan dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada sebarang bentuk kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan secebis rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta tanam-tanaman yang tidak menjadi. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jualah kami akan kembali. (al-Baqarah: 155)

Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit. Ia akan mendatangkan mudarat dan penderitaan kepada kita dan akhirnya kita akan menanggung pelbagai beban dan kesulitan.

Malah yang lebih malangnya, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut sama menanggung penderitaan.

Seiring dengan kemajuan teknologi yang serba moden dan canggih ini, setiap hari kita semakin terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan memusnahkan harta benda. Ertinya semakin maju sesebuah negara maka semakin tinggi peratusannya untuk terdedah kepada bahaya.

Pepatah Melayu ada menyebut, “malang tidak berbau, geruh tidak berbunyi”. Kemalangan dan tragedi yang berlaku ini bukan sahaja mengakibatkan penderitaan dan kesusahan kepada kita sebagai mangsa tetapi turut ditanggung oleh ahli keluarga kita.

Apatah lagi seandainya kemalangan dan tragedi tersebut meragut nyawa kita sebagai ketua keluarga maka ini bermakna anak-anak dan isteri kita akan mengalami penderitaan, akibat hilang punca pendapatan mereka selama ini.

Hal ini akan menjadi bertambah buruk apabila kita tiada sebarang persiapan atau perancangan.

Kita sebagai umat Islam yang beriman dengan ketentuan qada dan qadar Allah semestinya meyakini bahawa segala bentuk musibah yang menimpa itu adalah ujian dari Allah SWT jua. Kita pula sebagai hamba-Nya yang taat hendaklah sentiasa bersedia menghadapinya dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Oleh itu menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berikhtiar dan berusaha sedaya upaya mengelak dan menjauhkan diri daripada kemungkinan berlakunya musibah, malapetaka atau bencana yang boleh mengancam nyawa dan juga keselamatan harta benda.

Malah Islam melarang kita daripada sengaja mendedahkan diri kepada mudarat dan kebinasaan sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu sengaja mendedahkan dirimu kepada kebinasaan. Dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (al-Baqarah: 195)

Islam menyuruh kita supaya merancang dan mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah atau sekurang-kurangnya bagaimana hendak meringankan bebanan yang terpaksa dipikul oleh kita atau oleh ahli keluarga kita jika sesuatu musibah menimpa.

Pernah satu ketika seorang Arab Badwi bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW apakah beliau perlu menambat untanya sebelum masuk ke masjid untuk bersembahyang ataupun hanya membiarkan begitu sahaja untanya tanpa perlu menambatnya terlebih dahulu.

Maka Baginda SAW bersabda kepada orang Arab Badwi itu dengan sebuah hadis sahih yang maksudnya: “Tambatlah unta kamu terlebih dahulu dan kemudian barulah bertawakal kepada Allah”. (riwayat Tarmizi)

Musibah jangan dicari

Daripada hadis tersebut, Baginda SAW mendidik kita supaya musibah jangan dicari. Malah Baginda menyuruh kita mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah sebelum ia menimpa.

Kesan daripada kemalangan yang menyebabkan maut atau kecederaan parah akan membuatkan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa dan keluarganya menjadi lebih berat. Sesungguhnya kematian tidak dapat digantikan dengan wang ringgit tetapi kecederaan tubuh badan pasti memerlukan rawatan.

Dalam hal ini, bekalan wang secukupnya adalah sangat mustahak. Sekurang-kurangnya derita yang ditanggung menjadi lebih ringan. Pada masa yang sama, penderitaan kita akan bertambah jika musibah yang menimpa membawa kepada kemusnahan tempat tinggal dan kehilangan harta benda milik kita. Yang hilang perlu diganti. Yang musnah harus pula dibaiki.

Persoalan yang timbul ialah dari manakah manfaat wang atau kemudahan seumpama ini akan dapat kita perolehi bagi membantu ahli keluarga kita yang hilang tempat pergantungan? Dan dari sumber manakah untuk memperoleh manfaat kewangan bagi mengganti atau membaik pulih harta benda yang musnah atau yang hilang itu?

Jika ditakdirkan kita sebagai ketua keluarga meninggal dunia, siapakah di kalangan ahli keluarga kita yang akan menjelaskan tanggungan hutang kita sekiranya kita mempunyai hutang yang masih belum dijelaskan?

Hakikat kemungkinan berlakunya musibah atau bencana ini, sepatutnya menjadikan kita lebih bersedia menghadapinya dari awal lagi.

Antara persediaan yang terbaik ialah kita hendaklah mempunyai sejumlah wang yang mencukupi sebagai bekalan untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk jika ditakdirkan menimpa kita.

Dengan bekalan wang ini, bebanan ahli keluarga kita akan menjadi lebih ringan bagi meneruskan kehidupan seharian mereka selepas kematian kita yang menjadi tempat pergantungan mereka.

Bekalan wang ini juga boleh digunakan untuk membeli harta benda yang baru menggantikan harta benda yang sudah musnah. Di samping itu biarlah kita berazam untuk mempunyai sejumlah wang yang boleh digunakan semasa melalui hari-hari persaraan atau hari-hari tua kita kelak.

Antara jalan ikhtiar yang boleh dirancang dan diusahakan oleh kita bagi mencapai matlamat tersebut ialah dengan cara mendapatkan perlindungan (protection) menerusi sistem takaful atau insurans secara Islam.

Hari ini pelbagai institusi kewangan Islam telah ditubuhkan di negara kita untuk tujuan-tujuan tersebut yang selaras dengan ajaran Islam seperti perbankan Islam dan takaful untuk keperluan perlindungan.

Dengan kewujudan pengendali takaful yang kini berjumlah sembilan pengendali ke semuanya mampu menawarkan pelbagai skim dan pelan yang boleh memberikan manfaat dan menawarkan perlindungan yang amat berfaedah kepada kita umat Islam.

Dengan cara ini kita akan memperoleh perlindungan dalam bentuk kewangan sebagai bekalan untuk menghadapi musibah dan bencana yang bila-bila masa sahaja berkemungkinan menimpa kita. Di samping itu, kita juga berpeluang bermuamalat dengan sistem kewangan Islam yang bebas daripada sebarang dosa riba.

Tiga Perkara Membatalkan Akidah

IBN Jauzi berkata: “Sebahagian ulama berpendapat ayat yang sebelum ini telah dinasakhkan dengan pengecualian pada ayat ini, dan ini bukanlah dinamakan nasakh kerana pengecualian maksudnya mengeluarkan sebahagian dari semuanya yang membawa kepada takhsis.”

Sayid Qutub berkata: “Adapun orang-orang yang terus berdegil (di atas kesalahan mereka) dan tidak bertaubat sehingga peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) telah berakhir, maka mereka akan menghadapi laknat yang diancamkan kepada mereka sebelum ini dengan huraian yang lebih terperinci dan tegas lagi.”

Benarlah firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir, mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya.

Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. (Al-Baqarah: 161-162)

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir. Sesungguhnya disyaratkan mati dalam kufur kerana hukumnya mengikut bagaimana keadaan mati.

Abu al-`Aliyah berkata: “Ini pada hari kiamat di mana orang kafir didirikan kemudian Allah melaknatnya seterusnya manusia dan malaikat juga melaknatnya. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya.”

Sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh membawa kepada keluarnya seseorang dari daerah keimanan kepada kufur. Disebut secara umum di sini antara sebab-sebab tersebut:

Ulama berpendapat perkara yang membatalkan akidah dan iman terbahagi kepada tiga:

* Iktikad.

* Perbuatan.

* Perkataan.

Ulama menyebut dalam kitab masing-masing secara terperinci jenis-jenis perkara di atas yang boleh mengeluarkan daripada daerah keimanan sehingga membawa kekufuran. Secara ringkasnya seperti berikut:

* Beriktikad adanya Tuhan yang lain selain Allah atau kuasa yang setara dengannya.

* Beriktikad makhluk boleh memberi kuasa.

* Percaya kepada kuasa-kuasa yang lain daripada Allah, seperti jin dan lain-lain.

* Melakukan perbuatan ibadah seperti orang kafir, contohnya tunduk dan patuh kepada berhala dan memakai salib dan sebagainya.

* Menghina al-Quran.

* Menghina Rasulullah s.a.w dan sunahnya termasuk melukis karikatur yang menjatuhkan martabat Nabi Muhammad.

* Menganggap syariat tidak sesuai pada zaman sekarang.

* Menganggap undang-undang Islam sudah lapuk, kejam dan zalim.

* Merasa syak dan ragu atas kebenaran Islam.

* Menafikan perkara yang menjadi maklum dalam agama atau perkara yang diketahui umum.

* Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

* Mengaku adanya Nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

* Menganut fahaman isme-isme yang lain seperti liberalisme dan lain-lain.

Seterusnya firman Allah s.w.t: Mereka ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat ini yang dimaksudkan dengan laknat tiga wajah. Pertama, mereka melaknatnya di hari akhirat. Kedua, dikehendaki dengan manusia di sini ialah di kalangan orang yang beriman seperti pendapat Ibn Mas’ud, Qatadah dan Muqatil. Ketiga, bahawa laknat daripada orang yang ramai.

Firman Allah s.w.t: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Maksud kekal di dalamnya atau padanya ada dua pendapat. Pertama, kembali kepada laknat seperti pendapat Ibn Mas’ud dan Muqatil. Kedua, kembali kepada neraka.

Ayat ini tidak menyebut suatu azab yang lain dari laknat yang menyerkup mereka, malah ia menyifatkan laknat ini sebagai suatu azab yang tidak akan diringankan dari mereka dan tempoh azab itu tidak akan ditangguhkan.

Itulah azab yang mengecilkan segala azab yang lain. Itulah azab diusir, dibuang dan dilayan dengan kasar dan tiada hati yang menaruh belas kasihan, tiada mata yang memandang dengan simpati dan tiada lidah yang mengucap kata-kata hormat.

Mereka dikutuk, diusir dan dibuang oleh para hamba Allah dan oleh Tuhan sekalian hamba-Nya sama ada di bumi dan di alam al-Mala`ul-A’la. Inilah azab yang amat pedih dan amat menghinakan.

Firman Allah: Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. Balasan itu disebabkan mereka telah menutup pintu yang terbuka itu kepada diri mereka sendiri dan membiarkan peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) itu berakhir begitu sahaja, sedangkan mereka terus berdegil dengan sikap menyembunyikan kebenaran, memilih kekufuran dan kesesatan.

Iktibar dan pengajaran ayat:

1. Kebahagiaan yang hakiki ialah mati dalam husnu al-Khatimah apatah lagi diakhiri dengan kalimah tauhid.

2. Laknat yang datang daripada Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya menjadi dalil ia termasuk dalam dosa besar.

3. Beriman dengan hari balasan seperti adanya azab neraka adalah benar.

9 JENis WaNita Yg Jd PerHatian..

1 . SIKAP KEIBUAN Banyak lelaki yg terpikat pd wanita yg bersikap keibuan,lembut , mengambil berat dan penuh kasih sayang.Wajah yg keibuan mampu membuat lelaki berasa tenteram ketikasedang stress,cemas, gelisah dan senang.

2 . KEANAK-ANAKKAN Dalam batas yang wajar, sifat keanak-anakkan seorang wanita menjadi daya tarikan di mata lelaki.Mereka terasa terhibur dengan keletah anda, tetapi tentulah bukan sifat keanak-anakkan yg melampau dan menyakitkan hati.Tetapi sikap keanakan yang menyenangkan. Misalny a kemanjaan wanita yg membangkitkan naluri kebapaan dan kelakian lelaki,wanita ceria membuat lelaki lebih ghairah.

3 . PENUH PENGERTIAN Sikap pengertian wanita membuat lelaki berasa dihargai dan diterima seadanya.Sikap ini tercermin dari perasaan mudah memaafkan, memilih waktu yg tepat utk berbincang masalah dan sebagainya.

4 . MENGHARGAI Wanita yg menghargai lelaki adalah wanita idaman lelaki.Berbeza dgn wanita yg suka di perlakukan dgn lembut,lelaki suka dihargai ,dipuji dgn tulus ikhlas dan diberi kepercayaan. Pengharg aan dari wanita membuat lelaki berasa bangga.

5 . MENJAGA PENAMPILAN Lelaki menyukai wanita yg pandai menjaga penampilan agar sentiasa kelihatan cantik,bersih, kemas dan menarik.Penampilan yg baik menunjukkan wanita tersebut menghargai dirinya.

6 . PANDAI BERBICARA Lelaki tertarik dgn wanita yg pandai berkomunikasi dan boleh diajak berbual.Walau walau topik perbualan yg disukai lelaki berbeza dgn topik kegemaran wanita,wanita tersebut dapat mengimbanginya. Dia bukan sekadar teman berbual yg pasif,tetapi dapat memberi respon dan pendapat yg baik,serta mengalihkan topik yg agak serius kepada perbualan yg lebih menarik.

7 . PANDAI BERGAUL DAN MENYESUAIKAN DIRI Wanita yg pandai bergaul dan menyesuaikan diri mempunyai nilai lebih dimata lelaki.Wanita tersebut tahu menghadapi org yg lebih tua dan cara berhadapan dgn orang yg lebih muda.Apabila berhadapan dgn suasan yg baru,wanita tersebut tidak gentar,malah cepat menyesuaikan diri.Dia mudah diajak kemana saja dan tidak kekok samada di bandar atau di kampung.

8 . MENGHORMATI DIRI SENDIRI Lelaki suka wanita yg menghargai dirinya sendiri sebagai seorang wanita,bersikap sopan dan mempunyai etika.Wanita yg menghormati dirinya sendiri mempunyai keyakinan dan tahu apa yg baik dan buruk diperlakukan oleh seorang lelaki terhadap dirinya.

9 . SIMPATI DAN PRIHATIN Lelaki suka wanita yg murah hati,mengambil berat,simpati pada nasib yg susah.Sayang pada kanak2 dan tidak memilih bulu.Kebaikan yg wajar dan spontan mencerminkan hati yng mulia.Ada kecantikan dalaman pada dirinya yg memancar keluar dengan indah dan mempesona.

BAGAIMANA ANDA KAUM WANITA ???

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Doa setiap bingkisan ku. .panjangkanlah umur dan berikanlah kesihatan dan murahkanlah rezeki pada ibu ku..jadikan suami ku suami soleh anakku anak solehah..amin...pintaku selalu pada Mu Ya Allah...