Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Khamis, Oktober 14, 2010

MANA MILIK KITA..

sumber dr,,blog

Bukan sekali, malah telah banyak kali soalan tersebut ditujukan kepada saya. Dan setiap kali itu juga, muka saya akan merona merah sebelum memberikan jawapannya. Merah bukan kerana marah. Akan tetapi wajah yang memerah itu adalah manifestasi dua rasa yang sedang sarat bergelora dalam jiwa. Rasa malu berbaur ragu dan cemburu. Malu untuk menyatakan pandangan, walau pendirian saya dari sudut hukum telah jelas sebagaimana yang disyari’atkan agama. Ragu bersulam cemburu, kerana sebagai seorang perempuan, sifat yang satu ini pasti ada sebagai bukti saya juga wanita biasa yang memiliki akal yang satu dan sembilan emosi dalam diri. Darinya lahir kelebihan dan kekurangan seorang wanita bergelar ibu dan juga isteri. BUKAN MUDAH Kali ini, soalan yang sama ditanya pada ruangan komentar di dalam blog saya. Janji saya untuk menyatakan pandangan sekaligus memberikan jawapan. “ Bukan mudah sebenarnya untuk berpoligami.” Demikian jawapan awal suami bila saya memulakan perbincangan kami kepada soal yang dianggap ‘taboo’ dalam masyarakat hari ini. Suatu isu fiqh turun temurun yang sangat kontroversi bila membicarakannya. “ Kenapa abang kata, bukan mudah ? Kalau begitu, mengapa ramai lelaki hari ini yang seakan-akan merasa senang untuk bernikah satu lagi? “ soal saya agak provokatif. “ Senang melafazkan akad pernikahan, tetapi bukan senang dari sudut melangsaikan tanggungjawab selepas perkahwinan,” jelas suami sambil memandang jauh ke luar jendela. “Andai sebelum berkahwin buat pertama kali seorang lelaki perlu berfikir dua tiga kali, inikan pula untuk berpoligami. Sepatutnya kena fikir sepuluh kali, atau lebih lagi. Fikir berpuluh kali itu bukan untuk mencari jalan menyembunyikannya dari isteri tapi memikirkan cara pelaksanaan tanggungjawabnya” tambah suami. Saya menerima penjelasan suami dengan anggukan yang bertali. Ye, bukan mudah bagi seorang lelaki untuk berpoligami, jika neraca pertimbangannya adalah tambahan tanggungjawab dan amanah yang hadir bersama satu lagi lafaz, ‘aku terima nikahnya’. Juga bukan mudah untuk seorang isteri menerima poligami, jika pertimbangan emosinya mengatasi akal dan rasional yang satu. Bukan menafikan hukum, tetapi meragukan kemampuan diri menampung rasa cemburu. Itu belum lagi ditambah dengan penerimaan anak-anak. Sungguh, panjang ceritanya. KEPELBAGAIAN MANUSIA “ Bagaimana pula pandangan abang, jika ramai wanita mengatakan hanya mereka yang mengetahui kemampuan suami. Layak atau tidak untuk berpoligami?” saya bertanya, masih mahu melanjutkan perbincangan. “ Pandangan tersebut juga tidak tepat. Mampu bagaimana yang dimaksudkan? Kalau dari sudut kewangan, mungkin sahaja seorang suami memiliki sumber kewangan lain yang di luar dari pengetahuan isteri. Jika kemampuan dari sudut nafkah batin, keserabutan minda di waktu tertentu boleh memberikan kesan kemampuan batin seseorang lelaki. Ia juga boleh menyebabkan turun naik. Isteri sukar mengukurnya” tingkah suami menjawab persoalan saya sebentar tadi. “ Tak patutlah macam tu. Sewajarnya, tiada rahsia antara suami dan isteri dan juga suami sepatutnya beritahu isteri jika ada kekurangan dalam rumahtangga mereka,” luah saya tidak puas hati. Menggeleng kepala saya memikirkannya. “ Ye, itu yang ideal, yang sepatutnya. Tapi, bukan semua orang boleh mendedahkan segala perkara kepada pasangannya. Malah Islam juga mengajar untuk menyimpan beberapa perkara yang dikira lebih membawa banyak mudarat berbanding manfaat kepada rumahtangga. Bukan saja itu, malah dibenarkan pula menyembunyikan beberapa perkara dari pasangan di dalam keadaan tertentu. Manusia ni pelbagai ragam dan sifatnya, As ” kata suami mengingatkan saya. “ Hmm..sebab itu, sukar untuk berjumpa dengan poligami yang berpandukan sunnah dari meraikan nafsu hari ni, kan bang,” keluh saya, masih menggeleng kepala. “ Ye, itu betul. Tapi kerana meraikan nafsu itulah salah satu sebab Islam menghalalkan poligami. Sebagai agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan, poligami adalah jalannya. Agar gelora yang membara itu disalurkan pada yang halal, dan bukan sebaliknya. Bukan sekadar untuk kepuasan diri, tapi juga untuk mengawal nafsu agar dia terus dapat beribadah dengan sempurna. Apa cacatnya pada niat dia kalau begitu? Dia bukan serakah tapi berniat menutup pintu gangguan hati “ kata suami saya dengan tenang. “Tapi kena ingat juga, bukan semua poligami berpunca dari kehendak nafsu malah banyak lagi sebab lain yang amat bertepatan dengan fitrah manusia dan kepentingan umum, malah kepentingan isteri yang pertama juga. Yang ini panjang kalau nak dihurai dan ia kena didengar dan dibaca dengan aqal berpandu iman bukan emosi bersalut nafsu, baru boleh faham“ sekali lagi suami mengingatkan sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala mengiyakan, walau jiwa amat berat menerima kenyataan. TAMBAH ILMU Saya merenung jauh ke dalam diri. Mengenang nasib wanita-wanita di luar sana yang masih belum bersuami, dan tidak kurang juga para isteri yang telah kehilangan dahan bergantung untuk meneruskan kehidupan ini. Ketika tiada lelaki-lelaki bujang yang datang melamar, menyatakan persetujuan untuk menggalas peranan yang telah ditinggalkan, saya bersimpati. Hati wanita saya terusik. Naluri keimanan saya turut berbisik, ‘kerana itu Islam menyediakan jalan keluar..poligami.’ Namun, menjadikan bisikan itu sebagai suatu perlaksanaan tidak semudah yang dirasakan. Jiwa bertarung antara nafsu dan iman. Saya tahu, sukarnya menundukkan rasa cemburu dan ragu yang bukan-bukan. “ Ada baiknya, kita, juga semua pasangan suami isteri hari ini menambah ilmu tentang perlaksanaan poligami. Bukan sekadar membicarakan hukum, tetapi dari sudut pelaksanaan sebagai jalan keluar yang benar-benar mendatangkan manfaat buat masyarakat. Umpama ubat yang menyembuhkan, bukan racun yang mendatangkan kebinasaan,” saran suami. “ Abang ada cadangan buku yang baik dan sesuai untuk itu?” soal saya. Bagi saya, sebarang pandangan tentang perlaksanaan poligami yang harmoni dan berjaya sewajarnya datang dari pengalaman individu yang telah dan sedang melaluinya, bukan dari angan-angan semata-mata. “ Ada..buku Dr. Basri Ibrahim, tajuknya : Hidup Bahagia dengan poligami. Melihat kepada tajuk dan kebiasaan penulisnya, abang yakin kupasannya bukan sekadar ilmiah dan kontemporari, tetapi ia juga bersumber dari pengalaman beliau sendiri sebagai pengamal poligami” jawab suami. MANA MILIK KITA… Soalan ini akan terus ditanya. Jawapan saya, serahkan sahaja pada Yang Esa. Biarlah Allah SWT yang menentukannya. Lantaran sejak melangkahkan kaki di usia awal pernikahan saya dan suami, saya memohon dari-Nya apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat saya sekeluarga. Kepercayaan saya bulat terhadap suami. Perasaan hormat, sayang dan cinta saya kepadanya bukan membuta tuli tanpa berpandukan panduan agama. Saya yakin sebarang keputusannya adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan kami bersama. Bukan sekadar di dunia, tetapi yang lebih penting sehingga ke akhirat sana. Pada saya, layanan istimewa dan khusus yang saya lakukan buat suami bukan untuk menjauhkan kami dari ruang poligami; akan tetapi itulah tanggungjawab dan curahan bakti seorang isteri buat suami. Sebagaimana yang diperintahkan Ilahi. Saling menerima dan memberi dalam ikatan rumahtangga bahagia. Bukan atas alasan memiliki, tetapi lebih kepada atas dasar menyintai kerana-Nya. Cukuplah saya melaksanakan tugas ini sebaiknya, selebihnya saya serahkan atas ketentuan yang Maha Esa. Semoga penjelasan ini memberikan jawapan buat yang bertanya. Yang baik dari Allah jua, yang buruk dari kelemahan saya sebagai manusia biasa. Mana milik kita..tidak ada milik kita. Semua yang ada, Allah yang punya.. Wajah saya masih merona merah tatkala mengakhiri bicara ini. Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Jumpa lagi, InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Doa setiap bingkisan ku. .panjangkanlah umur dan berikanlah kesihatan dan murahkanlah rezeki pada ibu ku..jadikan suami ku suami soleh anakku anak solehah..amin...pintaku selalu pada Mu Ya Allah...