Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Isnin, April 19, 2010

Solat


Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang tertentu. Firman Allah swt:

"Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar" (Al Ankabut : 45)

Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya'.
Syarat wajib solat:
1. Islam
2. Baligh
3. Berakal

Syarat sah solat:
1. Suci badan dari dua hadas.
2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
3. Menutup aurat.
4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
5. Yakin masuk waktu solat.
(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ianya tidak menepati syarat sah solat)

Perkara-perkara yang membatalkan solat:
1. Keluar/kedatangan hadas.
2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit, atau tertawa.
3. Makan/minum walau sedikit.
4. Melakukan gerakan di luar gerakan solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
5. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
6. Terkena najis yang tidak dimaafkan.
7. Beralih arah dari qiblat dengan sengaja.
8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
10. Meninggalkan rukun solat.

Waktu-waktu Solat Fardhu: 
Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah seperti berikut:
1. Solat Subuh - bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
2. Solat Zuhur - bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
3. Solat Asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari terbenam.
4. Solat Maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah di ufuk barat.
5. Solat Isya' - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan sehingga terbit fajar pada hari keesokannya.

Perbuatan sunat sebelum solat: 
1. Azan - ertinya memberitahu, dan pada syarak adalah perkataan tertentu untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardu.
2. Iqamah.
3. Bersugi - ertinya membersihkan mulut dan gigi dengan alatan bersugi.

Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab:
1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
2. Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
3. Ketika matahari di tengah-tengah langit.
4. Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari terbenam.
5. Ketika masuk matahari.
[Kembali ke atas]

Rukun solat ada 13:
1. Niat.
2. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama).
3. Berdiri bagi yang mampu.
4. Membaca surah Al-fatihah.
5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).
6. Iktidal dengan tama'ninah.
7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah.
9. Tasyahhud Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad saw dalam Tasyahhud Akhir.
12. Membaca salam
13. Tertib.

Huraian rukun solat:
(i) Niat: niat dilafazkan di dalam hati. Lafaz yang disebut oleh mulut itu tidaklah dipanggil sebagai niat. Niat solat berlaku semasa seseorang mengangkat takbiratul ihram iaitu tatkala ia mengata Allahu-Akhbar. Umpamanya, untuk solat Zuhur, maka seseorang itu akan bertakbiratul ihram dan lalu hatinya berkata: Sahaja aku solat Fardhu Zuhur, empat rakaat, tunai, kerana Allah Taala

(ii) Takbiratul Ihram, iaitu mengucapkan Allahu-Akbar untuk memulakan solat. Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar dengan lafaz lain.

(iii) Berdiri bagi orang yang berkuasa. Sekiranya berdiri tetapi condong ke hadapan, ke belakang, ke kanan atau ke kiri hingga tidak dapat dinamakan sebagai berdiri maka hukum solat itu tidak sah. Sekiranya tidak mampu berdiri maka bolehlah dilakukan solat secara duduk, baring mengiring, menelentang atau secara mana yang termampu. Untuk solat sunat dibolehkan sembahyang secara duduk, namun tidak digalakkan.

(iv) Membaca al-Fatihah: pada tiap-tiap rakaat dengan memelihara segala makhraj dan tajwid fatihah. Rukun al-Fathihah tidak diwajibkan untuk makmum dalam solat berjemaah.

(v) Rukuk, berserta tama'ninah. Sekurang-kurangnya rukuk ialah membongkokkan belakangnya sampai dua tangan di atas dua kepala lutut, disertai dengan tama'ninah iaitu berhenti sebentar sekadar lama bacaan Subhanallah, dan anggota-anggota berat kemudian berhenti. Doa tasbih ketika rukuk ialah:"Maha suci Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya."

(vi) Iktidal. Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk, berserta tama'ninah. Doa tasbih ketika iktidal ialah: "Allah mendengar akan orang yang memuji-Nya."

Kemudian disambung pula dengan bacaan: "Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji."

(vii) Sujud ialah meletakkan dahi di atas tempat sujud dan dahi itu mestilah tidak berlapik dengan sesuatu. Sekiranya terpaksa seperti dahi dibalut kerana luka dan sebagainya, maka tidaklah wajib dibuka. Dahi yang berlapik dengan songkok dengan sengaja tanpa sebab adalah tidak sah solatnya. Anggota sujud ada 7:
1. Dahi
2. Dua tapak tangan
3. Dua lutut
4. Dua perut jari kaki
Doa ketika sujud ialah:"Maha suci Allah yang Maha Mulia dengan sifat kepujian-Nya"

(viii) Duduk di antara dua sujud dan tama'ninah. Mengangkat kepala dan badan untuk duduk di antara dua sujud ini mestilah mengandungi tujuan. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mengangkat dari sujud kerana tujuan lain, umpamanya mengelakkan daripada binatang, maka hendaklah ia kembali sujud semula. Duduk antara dua sujud merupakan rukun pendek maka tidak boleh dipanjangkan. Doa tasbih ketika sujud ialah:

"Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikanlah aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku."
(ix) Tahiyat/Tasyahud akhir. Membaca tahiyat akhir juga hendaklah dipelihara segala bacaan di dalamnya. Bacaan tahiyat akhir adalah seperti berikut:

"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah."

(x) Duduk ketika tahiyyat akhir.

(xi) Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekurang-kurangnya; "Allahumma-solli 'ala Muhammad."

(xii) Salam pertama. Sekurang-kurangnya salam: "Assalamu'alaikum" bermaksud "salam sejahtera ke atas kamu."

(xiii) Tertib. Tertib ditakrifkan sebagai mendahulukan yang dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian. Solat yang tertinggal ketertiban rukun-rukunnya dikira tidak sah.
[Kembali ke atas]

Sunat Hai'ah & Ab'adh

Perkara-perkara sunat semasa solat ada dua:
1. Sunat Hai'ah
2. Sunat Ab'adh

Sunat Hai'ah ada 15 perkara:
1. Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram, ketika rukuk, ketika iktidal dan ketika bangun pada rakaat kedua. (nota: bangun dari rakaat pertama dan ketiga tidak diperlukan mengangkat tangan)
2. Meletakkan perut tangan kanan di atas tangan kiri dan memegangnya dan meletakkannya di bawah dada atau di atas pusat.
3. Membaca doa tawujud/iftitah. Doa iftitah ialah:

"Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah, dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam."

4. Membaca A'uzubillah
5. Membaca Al-fatihah dan surah dengan suara yang kuat pada tempat-tempat dan masa-masa yang ditentukan
6. Membaca amin selepas fatihah
7. Membaca surah al-Quran
8. Membaca tasbih ketika rukuk
9. Membaca tasbih ketika rukuk
10. Membaca tasbih ketika sujud
11. Membaca tasbih ketika bangkit dari rukuk
12. Meletakkan kedua tangan di atas peha dengan melepaskan jari kesemuanya
13. Duduk iftirasy pada semua duduk iaitu duduk di atas buku lali kaki kiri
14. Duduk Tawarruk iaitu duduk tahiyat akhir
15. Salam yang kedua

Sunat Ab'adh ada 7 perkara:
1. Tahiyat awal.
2. Selawat didalam Tahiyat awal
3. Duduk Tahiyat
4. Doa qunut waktu subuh dan pada solat witir. Doa qunut ialah:

"Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau tunjukkan. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpinkan. Berkatlah hendaknya untuk apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Jauhkan aku dari segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperoleh pimpinanMu. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi, telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Maka hanya untuk Engkau tetapkan. Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dirahmati Allah jugalah kiranya Muhammad, Nabi yang buta-huruf, dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan diberiNya kesejahteraan."

5. Selawat di dalam qunut
6. Berdiri semasa qunut
7. Membaca selawat ke atas keluarga Nabi pada Tahiyat akhir.

Sekiranya tertinggal sunat Ab'adh, maka disunatkan ia sujud sahwi; manakala tertinggal sunat hai'ah tidak diperlukan sujud sahwi.
[Kembali ke atas]

Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Sabda Nabi SAW:

"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat" (HR Bukhari dan Muslim)
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum. Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat muaakad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu lima waktu, solat hari raya, solat sunat tarawih dan solat sunat witir. Tetapi bagi sembahyang Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah.

Syarat-syarat sah solat berjemaah:
1. Berniat mengikut/menjadi imam.
2. Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam.
3. Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum, kecuali bagi makmum perempuan di masjid hendaklah dibataskan dengan kain.
4. Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula melambatkannya.
5. Tidaj mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang.
6. Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di takat tumit. Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris dengan imam.
7. Solat makmum harus sama dengan solat imam, misalnya sama-sama solat Zuhur, Jumaat, qasar, jamak dan sebagainya.
8. Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan.

Semasa berniat, seseorang itu perlu menambah perkataan makmuman (makmum lelaki), makmumatan (makmum perempuan), imaman (imam lelaki) atau imamatan (imam perempuan) selepas menyebut solat yang ingin dilakukan.

Antara syarat untuk menjadi imam:
1.Bacaannya lebih baik daripada bacaan makmum.
2.Seseorang itu bukan sedang mengikut atau menjadi makmum kepada imam lain.
3.Imam itu sudah mumaiyiz.

Terdapat sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Imam ialah yang menanggung pembacaan, apabila baik pembacaannya maka pahala untuk dirinya dan untuk mereka (makmum) dan jika rosak pembacaannya maka dosanya ialah di atas dirinya sendiri, dan bukan makmumnya.



Tiada ulasan:

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Doa setiap bingkisan ku. .panjangkanlah umur dan berikanlah kesihatan dan murahkanlah rezeki pada ibu ku..jadikan suami ku suami soleh anakku anak solehah..amin...pintaku selalu pada Mu Ya Allah...