Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Followers

Isnin, Mac 01, 2010

Punca Sakit buah Pinggang,

RAMAI orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.

Malah, tidak kurang juga beranggapan mereka tidak akan berdepan masalah kesihatan, sedangkan setiap orang sebenarnya mempunyai risiko sama untuk mengalaminya kerana kebanyakan penyakit kronik menyerang badan dalam diam.

Sikap suka meletakkan diri dalam keadaan selesa menyebabkan ramai melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan, walaupun ia diberikan secara percuma.

Sikap ini juga menyebabkan ada yang tidak boleh menerima hakikat apabila diberitahu mereka menghidap sesuatu penyakit serius kerana tidak mengalami sebarang gejala.

Namun, itulah sifat penyakit kronik. Kehadirannya tidak dirasai dan pesakit masih boleh menjalankan kegiatan harian tanpa masalah kerana kesan hanya timbul apabila penyakit sampai ke tahap serius.

Fenomena sama turut ditunjukkan dengan masalah kerosakan buah pinggang.Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum menunjukkan kesan kepada kesihatan.

Bagaimanapun, anda perlu lebih berhati-hati dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika anda mengalami tanda seperti:

-Ketidakselesaan atau rasa terbakar ketika membuang air kecil.

-Darah keluar bersama-sama air kencing.

-Perubahan pada kekerapan membuang air kecil.

-Sakit belakang.

-Kerap buang air kecil, terutama pada tengah malam.

-Bengkak pada pergelangan kaki.

-Sembap pada keliling mata yang berlarutan, terutama pada sebelah pagi.

-Kencing Kotor

Semua tanda di atas menunjukkan seseorang itu mengalami masalah kerosakan buah pinggang. Biasanya gejala ini dianggap perkara biasa dan sering diketepikan, sedangkan ia petanda penting kepada masalah buah pinggang.

Risiko kegagalan buah pinggang semakin tinggi dengan pertambahan umur.Setiap tahun dianggarkan 2,400 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan dan kes baru di kalangan golongan berumur antara 60 hingga 65 tahun menunjukkan peningkatan 25 peratus.

Buah pinggang bertugas menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangan dan air berlebihan dari badan.Kegagalan buah pinggang melakukan tugas penting ini boleh menyebabkan pesakit menemui maut jika rawatan penggantian buah pinggang tidak dilakukan. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan buah pinggang baru dan kosnya pula sangat mahal; boleh mencecah RM300,000!

Justeru, perkara terbaik ialah menjalani pemeriksaan pengesanan. Ujiannya pula sangat mudah iaitu melalui ujian darah dan air kencing yang mengambil masa beberapa minit saja.

Selain dua ujian mudah ini, beberapa kaedah lain boleh digunakan, iaitu biopsi jarum halus dan ujian bagi tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Kaedah terbaik untuk mengelak menanggung kos perubatan tinggi ialah kerap membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit pada peringkat awal. Ujian saringan kesihatan ini sangat mudah dan keputusannya boleh diketahui segera.

Semua orang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan ini, terutama mereka yang mempunyai sejarah atau ahli keluarga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, kerana mereka berisiko tinggi mendapat masalah kegagalan buah pinggang.

Kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga antara punca utama kerosakan buah pinggang. Jika ini berlaku, bermakna pesakit terpaksa bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat.

Saringan ini sangat mudah. Tiga parameter diukur iaitu tekanan darah, kandungan glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing. Jika air kencing menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang.

Masalah kegagalan buah pinggang yang semakin meningkat di kalangan masyarakat kita dipercayai akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan tidak sihat yang boleh menjurus kepada penyakit kencing manis serta tekanan darah tinggi.

Kajian terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) 2004 mendapati, rakyat Kelantan paling ramai menghidap kencing manis (78,000 orang) dan kebanyakannya adalah pesakit muda berumur 30 tahun.

Peningkatan sekali ganda sebanyak 13 peratus ini sangat merisaukan berbanding hanya 5.3 peratus 10 tahun lalu.

Kencing manis juga menyebabkan 95.3 peratus pesakit di negeri itu terpaksa kehilangan anggota badan yang kesemuanya berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.

Jika anda turut mengamalkan gaya hidup tidak sihat, masih belum terlewat untuk mengubahnya.

Mulakan hidup baru dengan menjalani ujian saringan ini sebelum membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Kegagalan buah pinggang juga boleh dicegah dengan mengamalkan:

-Pemakanan seimbang.

-Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

-Berhenti merokok.

-Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Paling penting, elakkan ubat yang tidak perlu termasuk ubat untuk menguruskan badan.

-Kekalkan berat badan seimbang.

-Bersenam setiap hari sekurangnya-kurangnya 30 minit.

Kencing kotor tanda sakit buah pinggang Kencing Kotor tanda sakit buah pinggang

JIKA anda berada dalam kelompok ini – lelaki dan mengalami kencing berdarah – lakukan temujanji segera dengan doktor. Berbanding wanita, fenomena kencing kotor di kalangan kaum Adam adalah antara petanda serangan sakit buah pinggang.

Secara normal, jangkitan kuman pada pundi kencing hanya melanda golongan Hawa kerana ia mudah ‘menyusup’ masuk ke pundi kencing dari tiup uretra disebabkan jaraknya yang terlalu dekat antara satu sama lain.

Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Thiruventhiran Thilaganathan, berkata masalah ginjal sukar dikesan lebih awal kerana ia organ dalaman tetapi perubahan warna air kencing menjadi amaran supaya individu mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, sebahagian besar pesakit hanya datang mendapatkan rawatan selepas mencecah tahap kronik hingga penderita memerlukan kaedah terakhir untuk hidup seperti orang lain sama ada menjalani hemodialisis atau pemindahan buah pinggang.

“Tiada istilah jangkitan kuman kalau lelaki mengalami kencing kotor. Kebarangkalian bakteria menyerang salur pundi kencing lelaki amat luar biasa kerana ia perlu menempuh perjalanan panjang untuk sampai di situ.

“Begitupun bagi wanita pula, mereka tidak harus menganggap masalah kencing kotor sebagai lumrah atau kitaran biologi. Ia memang boleh disembuhkan namun jika dalam setahun mereka mengalami keadaan ini lebih dari tiga kali, bermakna ada sesuatu tidak kena.

“Dari pemerhatian, 60 peratus daripada kes yang disifatkan sebagai kencing berdarah itu mempunyai kaitan dengan buah pinggang. Sama ada lelaki atau wanita, pengesanan awal buah pinggang sama penting dengan pemeriksaan kesihatan lain,” katanya.

Dalam kes kencing berdarah di kalangan penderita masalah buah pinggang, tahap kerosakan organ berkenaan sebenarnya berada pada peringkat bahaya apabila buah pinggang tidak lagi dapat berfungsi secara normal.

Dr Thiruventhiran berkata, dianggarkan kira-kira 15,000 pesakit buah pinggang di seluruh negara kini bergantung hidup kepada dialisis darah manakala 2,400 kes baru dikesan setiap tahun dan menjelang 2008, pesakit buah pinggang dijangka berjumlah 20,000 orang. “Kita tentu tidak mahu termasuk dalam senarai pesakit buah pinggang tetapi setiap individu sebenarnya tidak boleh menolak kemungkinan masalah ini akan menimpa mereka ditambah faktor risiko termasuk hipertansi, diabetes, genetik dan gaya hidup.

“Jika masalah buah pinggang yang gagal berfungsi dengan baik ini dapat dikesan ketika masih pada tahap awal, peluang untuk dipulihkan sangat cerah sekali gus membolehkan pesakit kembali normal.

“Di sinilah pentingnya tahap kesedaran dalam diri seseorang. Jangan biarkan keadaan menjadi melarat, baru hendak pergi berjumpa doktor. Kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit ini juga harus diterapkan dalam diri setiap anggota masyarakat,” katanya.

Katanya, fungsi buah pinggang penting untuk menjana keseluruhan sistem tubuh apabila ia bukan saja membersihkan darah dengan menyingkirkan bahan buangan dan lebihan cecair malah menseimbangkan kimia tubuh.

Kepentingan lain meliputi penghasilan hormon untuk mengekalkan kesihatan tulang, membantu tulang sum-sum menghasilkan sel darah merah serta menseimbangkan tekanan darah.

Secara umum, penyakit buah pinggang membawa maksud apa saja gangguan atau keganjilan yang memberi kesan kepada fungsi buah pinggang terhadap penjanaan sistem badan.

Ia membabitkan pelbagai aspek termasuk penyakit buah pinggang yang diwarisi secara genetik (polycystic kidney disease) dan penyakit buah pinggang yang disebabkan penyakit lain seperti diebetes dan hipertensi (hypertension).

Namun hingga ke tahap kronik, kebanyakan pesakit tidak menyedari mereka terdedah kepada ancaman ini berikutan simptom agak kabur selain kegagalan fungsinya hanya disedari selepas beberapa lama.

Katanya, kebiasaannya sebarang petanda hanya muncul selepas buah pinggang berada pada kondisi teruk ditambah keengganan individu menerima kenyataan dengan hati terbuka sebaliknya melambat-lambatkan kaedah rawatan kerana tidak mahu berdepan dengan kesukaran. “Penyakit ini perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan saja menyebabkan pesakit menghadapi kesakitan, bebanan emosi malah terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk merawatnya.

“Dalam sesetengah situasi, bukan semua orang mampu mengeluarkan kos rawatan susulan atau menjalani dialisis. Oleh itu, langkah pengawalan awal harus diwar-warkan kepada semua bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.

Dianggarkan kos rawatan untuk sekali dialisis berharga RM120 hingga RM140 di hospital kerajaan, manakala di pusat perubatan swasta pula antara RM160 hingga RM170 dan secara keseluruhan, perbelanjaan rawatan penyakit ini di seluruh dunia membabitkan RM300 juta setahun.

Selain dialisis darah atau hemodialisi, terdapat kaedah dinamakan Peritoneal dialisis iaitu cecair dialysate yang bertindak memerangkap bahan buangan daripada darah diletakkan di dalam perut. Selepas beberapa jam, ia dikeluarkan dan pesakit boleh melakukan kaedah ini sendiri di rumah.

Tiada ulasan:

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...