Cinta allah

"Ya Allah..... Tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami
mengikuti yang benar itu.Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar
dan permudahkan kami meninggalkannya." Amin.

Isnin, Mac 08, 2010

Kasihnya Allah Kepada Wanita

“Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya.” “Kasihnya Tuhan kepada wanita!” Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan ‘layanan’ istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah s.w.t tawarkan buat seorang wanita dalam Islam.

Namun, ramai wanita tidak memahami hal ini. Lantaran itu, kebanyakan mereka tertipu dengan nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap menindas wanita. Walhal, kalau dikaji setiap amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya dalam soal lalu lintas terlalu banyak terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan kepada kaum wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.

1. Gelaran bagi ‘isteri’ di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah s.w.t gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah ‘husband’ manakala perkataan untuk isteri ialah ‘wife.’ Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah ‘mari’ manakala perkataan ‘femme’ untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza ‘zaujah’ dan ‘zaujati.’ Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu ‘zaujah’ yang bermaksud ‘pasangan.’ Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri dalam Islam seperti yang tercatat dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujah ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujah. Contohnya isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut ‘imraah’ kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

2. Pembelaan Rasulullah terhadap wanita

Rasulullah s.a.w ada banyak menyatakan hadis-hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan dalam Islam. Antaranya:

  • “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” Apakah wanita tidak rasa mulia dengan hadis ini? Mengapa Rasulullah memilih perkataan “di bawah telapak kaki” dan bukan “di dalam tangan” atau “di sisi” seorang ibu? Sudah tentu ini menggambarkan mulianya seorang wanita dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng’hamba’kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan anak-anaknya.
  • “Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku.”
  • “Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina perempuan-perempuan melainkan orang yang hina.” (Hadis riwayat Ibnu ‘Asakir)
  • “Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian, bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
  • “Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya) yang mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang ia suka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi Islam. Dalam satu masyarakat yang bertakwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.

3. Bahagian tubuh wanita dianugerahkan nama yang mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud ‘Maha Penyayang.’ Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberi nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina disisiNya. Sudah tentu Tuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaan Tuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya berasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk mewujudkan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.

4. Diberi pahala yang berterusan

Wanita disebut ‘kurang dari sudut’ agama tetapi ini bukan bermaksud wanita itu kurang dari sudut iman dan takwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika haid dan nifas. Namun oleh kerana pada waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan telah memberikan juga pahala solat sekiranya dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan karenah anaknya pula, makin banyaklah pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Subhanallah! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran-ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

2 ulasan:

nza berkata...

Allah kasihkan hambaNya ttp hambaNya belum tentu kasihkan Allah.....selalu membuat sesuatu yg dilarang dgn sedar n tnpa sedar...

UMILIYA berkata...

BETUL TU KAK NZA..KITA KALAU SUSAH BARU JER TERINGGAT KAT ALLAH..KALAU SENANG INGAT SIKIT2 JE KAN KAK NZA

Kami di ijabkabulkan~~

......

.....

Daisypath - Personal picture

Daisypath Anniversary tickers

Puteri ku sayang

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Doa setiap bingkisan ku. .panjangkanlah umur dan berikanlah kesihatan dan murahkanlah rezeki pada ibu ku..jadikan suami ku suami soleh anakku anak solehah..amin...pintaku selalu pada Mu Ya Allah...